Tu pasai sekarang ni kalau pepagi n3 yg up adalah kisah2 yg boleh dishare melalui akhbar2 tempatan. ok meh baca artikal ni...
______________________________
Ugut bakar isteri kedua
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Mohd Helmi Irwadi Mohd NormyMetro, 6.10.2010
KUALA LUMPUR: Rahsia perkahwinan pertama yang terbongkar dan perebutan anak menyebabkan seorang lelaki berusia lewat 30-an bertindak di luar kawalan apabila menyimbah petrol serta mengugut mahu membakar isteri keduanya hidup-hidup, kelmarin.
Difahamkan, suspek mendirikan rumah tangga dengan wanita itu sejak dua tahun lalu, namun sepanjang setahun pertama perkahwinan mereka, mangsa yang berusia 26 tahun tidak tahu suaminya sudah mempunyai isteri serta enam anak.Bagaimanapun, keadaan berubah apabila perkahwinan mereka memasuki tahun kedua selepas wanita itu mengetahui dia isteri kedua.
Menurut sumber, sejak rahsia itu terbongkar pasangan terbabit sering bertengkar dan suspek sering memukul wanita itu menyebabkan dia membawa anak tunggalnya berusia setahun keluar dari rumah serta tinggal di rumah kakaknya di Cheras, di sini.
“Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin, suspek pergi ke rumah kakak iparnya dan meminta mangsa menyerahkan semula anak mereka.
“Akibatnya, berlaku lagi pertengkaran. Kali ini suspek seperti hilang kawalan mengugut membakar semua barang di rumah itu dan mangsa ditampar beberapa kali,” katanya.
Menurutnya, apabila kakak mangsa dan ahli keluarganya campur tangan bagi mengelakkan mangsa terus dikasari, suspek semakin berang, lantas mengugut untuk membakar isteri keduanya itu.
“Suspek pergi ke kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah kakak mangsa sebelum berpatah balik dengan memegang sebuah botol. Suspek menyimbah cecair dipercayai petrol ke arah mangsa sambil berteriak mahu membakar isterinya hidup-hidup,” katanya.
Sumber itu berkata, keadaan tegang itu bagaimanapun berjaya ditenangkan ahli keluarga mangsa selepas mengancam hendak menghubungi polis jika suspek berkeras untuk meneruskan niatnya.
Menurutnya, suspek meninggalkan kawasan itu, namun mengugut tidak akan membiarkan isteri keduanya itu hidup tenang.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Brickfields semalam, sebelum kes itu dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.
No comments:
Post a Comment