ASSALAMUALAIKUM..
Salam sabtu.. Dari pagi sampai tengahari baru sempat duduk rehat kejap. Gigih masak hari ni. Hambek! dari bfast sampai menu lunch. Pulun sekali harung masak.
Now, sambil-sambil rehatkan pinggang sambil cuci mata tengok menu- menu orang. Sambil- sambil tu juga sue nak share sikit info pasal PERIA. Kebetulan kan hari ni masak peria. Kat rumah ni jarang betul makan sayur.. Hadoiii..macam mana nak cantik dan sihat tu...Oklah! yang menu sue tu tak payah resepi pun. Tumis campak- campak ja. Semua pesen nak mudah.. Heeee.
Dah!..meh baca ni. Hasil googlelan (hancus ayat) jumpa lah artikel ni. Siap ada resepi peria goreng lagi. Penulis dah letak sekali sumber resepi tu. Sambil- sambil tu boleh la terus masuk ke dapur Mummyalyssa tu ya. (^_^).
Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my
2011/04/07
Hidangan enak, kaya manfaat perubatan
RASA peria memang pahit menyebabkan tidak ramai yang menggemarinya.
Tetapi, kata orang tua, pahit itu elok, pahit itu ubat dan sememangnya,
peria banyak khasiatnya, malah boleh dijadikan hidangan enak jika kena
cara memasaknya.
Bukan itu saja, peria atau nama saintifiknya, momordica charantia juga memberikan manfaat untuk individu menjaga kecantikan.
Begitulah hebatnya peria yang juga dikenali kambas, walaupun berasa
pahit dan ramai yang kurang menyukai sayur itu, ternyata ia mempunyai
banyak kebaikan. Justeru, ketepikan soal pahit dan cuba nikmati
‘kemanisan’ yang dimiliki peria. Antara pelbagai khasiat yang terdapat
dalam sayur itu ialah mengandungi protein, lemak, mineral, serat,
karbohidrat, vitamin dan kalsium.
Khasiat purba sudah diketahui sejak zaman purba lagi. Ketika itu,
peria digunakan untuk merawat beberapa penyakit seperti kencing manis,
darah tinggi dan buasir. Begitu juga bagi wanita yang baru bersalin,
disyorkan mengamalkan makan peria ketika berpantang, lebih-lebih lagi
apabila sudah kehilangan banyak darah sewaktu melahirkan anak.
Air rebusan peria juga dapat digunakan untuk menyejukkan bahagian
dalaman tubuh, misalnya rasa panas radang manakala bagi yang mengalami
buasir, disarankan rebus daun peria dan campurkan ke dalam segelas susu
atau minuman setiap pagi.
Pengidap kencing manis, disarankan mengambil peria sebagai menu
harian bagi penjagaan kesihatan kerana ia mengandungi insulin yang
berfungsi mengawal kadar glukosa dalam darah.
Khasiat peria tidak saja dikenali di negara ini sebaliknya di seluruh
dunia. Pakar perubatan China misalnya dikatakan, menggunakan peria
untuk merawat asma dan haid yang lewat. Di Filipina, daun peria yang
dilumatkan diletakkan ke dalam mulut bayi yang baru lahir untuk
merangsangkan sistem imunisasi tubuhnya. Selain itu, ia digunakan juga
sebagai ubat pupuk untuk merawat gigitan serangga.
Lebih menarik, kajian di luar negara mengenai peria mendapati masalah
ketagihan alkohol juga boleh diatasi dengan meminum air daun peria. Di
Australia dan Amerika Syarikat, peria kini menjadi bahan penting bagi
merawat penyakit leukimia, HIV dan AIDS.
Selain kegunaan dalam perubatan dan menyembuhkan penyakit, peria boleh
juga dijadikan hidangan enak yang membuka selera. Bagi yang ingin
menjaga dan mengekalkan kesihatan sihat, bolehlah menggunakan sayur
pahit itu dalam masakan. Dengan kandungan khasiatnya yang merangkumi
serat, lemak, karbohidrat dan protein, anda boleh menghasilkan menu
sihat.
Antara hidangan yang membangkitkan selera menggunakan peria ialah
masak lemak cili api ikan tenggiri atau anda boleh juga menggantikannya
dengan jenis ikan lain seperti kembung dan ikan merah. Dengan rasa kuah
yang lemak dan pedas, rasa pahit pada peria dapat dilupakan seketika.
Namun, jika untuk mengurangkan rasa pahit peria, amalan petua
tradisional yang boleh diamalkan ialah merendamkan sayur itu dalam air
kapur sirih sebelum dimasak.
Petua lain yang boleh diamalkan bagi mengatasi rasa pahit peria ialah
hiriskan peria terlebih dulu mengikut keperluan masakan, kemudian
gaulkan dengan garam kasar. Biarkan selama lima minit, selepas itu cuci
peria berkenaan beberapa kali dengan air bersih sebelum dimasak.
Hasilnya, buah peria yang sudah dimasak itu tidak akan berasa pahit
apabila dimakan.
Peria juga boleh dijadikan hidangan sayur goreng yang sedap. Untuk
tidak membiarkan hidangan sayur goreng itu hambar, anda boleh
menambahkan kesedapannya dengan meletak rencah seperti udang, ayam dan
telur.
Cara menyediakannya juga mudah iaitu dengan menumbuk dua ulas bawang,
satu ulas bawang putih dan satu biji cili merah. Selepas ditumbuk,
tumiskan dalam kuali yang berisi dua camca teh minyak masak. Apabila
bahan yang ditumis sudah garing, masukkan rencah yang disukai dan
biarkan seketika sebelum memasukkan peria yang sudah siap dihiris.
Biarkan peria itu empuk dan bersatu dengan bahan ditumis tadi, kemudian
barulah boleh dihidangkan untuk dimakan.
Resipi sihat yang lain ialah dengan menggoreng peria itu menjadi
rangup sehingga sedap dimakan begitu saja. Jika anda kreatif dan gemar
memasak, mungkin lebih banyak lagi resipi berasaskan peria yang boleh
anda cipta. Malah, ada yang menghasilkan peria sebagai jus untuk
menghilangkan dahaga dan smoothie bagi pembuka selera.
Kelebihan lain peria ialah memberikan manfaat dalam penjagaan
kecantikan terutama kulit. Peria dikatakan, boleh membantu menghalang
jerawat tumbuh berleluasa pada kulit muka kerana mengandungi ciri
penulenan darah.
Dengan kebaikan dan kelebihan yang ada pada peria, rugi sekali jika
tidak mengambil kesempatan atau memanfaatkan ia sepenuhnya dalam
kehidupan seharian anda.
INFO: Kebaikan peria
Penjagaan kulit
Peria boleh menghalang jerawat tumbuh berleluasa pada kulit muka
kerana mengandungi ciri penulenan darah. Kulit muka juga akan nampak
lebih berseri-seri.
Perangsang imun
Minum segelas jus peria setiap pagi dapat membantu menguatkan sistem
imun dalam badan. Sistem imun ibarat ‘pengawal keselamatan’ yang
menghalang penyakit menyerang.
Penjagaan mata
Peria juga seperti lobak, mengandungi karoten yang tinggi. Karoten dapat mengurangkan masalah mata.
Menurunkan berat badan
Peria dapat merangsang hati untuk rembesan jus hempedu yang sangat penting untuk meningkatkan metabolisme badan.
Baik untuk perut
- Peria sememangnya ejen pencernaan yang bagus dan boleh menghalang
sembelit kerana ia mengandungi selulosa yang juga sumber serat terbaik.
INFO: Peria
Peria adalah sejenis tumbuhan memanjat.
Dipercayai berasal dari Selatan China.
Peria juga dikenali sebagai ‘ku gua’ sudah lama digunakan sebagai satu herba dalam perubatan tradisional China.
Penggunaan peria kini semakin meluas. Di Asia Tenggara,
Australia dan Amerika Syarikat, peria kini menjadi bahan penting bagi
merawat penyakit leukimia, HIV dan AIDS.
Biarpun setakat ini belum ada kajian saintifik sepenuhnya
dijalankan bagi menguji keberkesanan peria dalam menangani penyakit
berkenaan, terdapat beberapa kes yang menunjukkan tumbuhan itu boleh
membantu menghentikan dan ada kalanya membalikkan penyakit itu daripada
merebak.
Peria didapati boleh meningkatkan semula kiraan sel CD4 (sel
imun) dalam tubuh manusia. Ujian darah untuk meguji jumlah kiraan sel
imun adalah perkara paling asas untuk mengetahui perkembangan dan betapa
seriusnya terhadap HIV dan AIDS.
Peria juga didapati berguna untuk merawat arthritis dan
‘opportunistia infections’, misalnya harpes kemaluan, tuberkolisis dan
beberapa jenis penyakit kulit yang menyerang berikutan sistem imunisasi
lemah.
Resipi: Peria goreng rangup
Sumber: mummyalyssa.blogspot.com
Bahan:
5 peria sederhana besar
Sedikit serbuk cili
Sedikit tepung beras
2 sudu teh tepung jagung
2 sudu teh kunyit
Garam secukup rasa
Minyak masak
Cara membuatnya :
Peria dihiris bulat dan nipis, buang tengahnya. Basuh dan toskan.
Campur semua bahan kecuali minyak dan perap selama 30 minit.
Panaskan minyak, goreng peria hingga berwarna perang dengan api yang sederhana.
Angkat dan toskan.
Siap untuk dimakan.