Kakinya melangkah longlai merempuh pemberontakan manusia di sekitar laluan utama syurga perniagaan. Riak wajahnya begitu redup dan ayu tanpa sebarang calitan make-up. Tiada senyuman. Dibalik lutsinar matanya dia mengkhayalkan sesuatu. Terlalu sentosa. Mereka tidak faham dan tidak akan faham apa yang terkandung dalam hatinya. Ia terlalu merasuk kalbu. Ya Tuhan!. Adakah kembara hari ini seperti sebelumnya. Dan hari esok akan berulang seperti hari ini. Tiada noktah bagi si pendosa sepertinya. Tiadakah?. Ingin sekali dia menemui ruang nur itu.
Berikanlah walau hanya sekali. Tunjukkanlah walau hanya secebis. Sesekali tubuhnya terseliuh dilanggar gesaan manusia yang lain. Hanya sekadar pandangan kejap Kemudiannya berlalu tanpa kata maaf. Dia tidak marah. Hatinya juga tidak membenci. Itulah lumrah adat manusia zaman kini. Bersikap begitu asing antara satu sama lain walaupun seagama, sebangsa. Manusia sememangnya anih. Mereka akan bergaduh dan tidak teragak-agak mencederakan antara satu sama lain apabila berlaku perselisihan kecil namun akan bersatu dan berukhuwah apabila
Seperti hari-hari yang sebelumnya dia masih melakukan tugasan yang sama. Mengikut kaki melangkah merentasi laluan dari Central Market sehinggalah ke Masjid India. Selepas berehat seketika, dia akan pulang ke kediaman mewahnya di Damansara untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai ‘isteri’. Sengaja dia memilih cara ini untuk bermuhasabah. Dia ingin bersendirian. Dia ingin menenangkan jiwa dan perasaannya yang bercampur aduk dengan dosa silam.
Matanya ligat metah memerhati ragam-ragam manusia yang berselerakan. Ada bermacam pengemis dari kanak-kanak hingga dewasa, cacat mahupun sempurna yang tidak putus-putus melebarkan kedua belah telapak tangan mengharapkan simpati. Tidak peduli walaupun mentari memijarkan ubun kepala. Tidak kurang juga penghibur jalanan yang membingitkan suasana menunjukkan bakat masing-masing diselang selikan lenggokan hip hop mengikut alunan muzik. Mereka semua berketrampilan berbeza namun bermatlamatkan yang sama; wang.
Kejap dia menundukkan wajahnya. Terlupa dirinya juga seperti mereka. Melihat mereka seperti juga melihat dirinya. Mengkritik cara hidup mereka sama juga mengutuk kehidupannya. Malah laluan hidupnya lebih hina daripada mereka. Berselindung disebalik busana yang sebahagian sempurna dia adalah perempuan simpanan. Satu gelaran yang terlalu menghiris. Tidak ubah seperti pelacur yang sentiasa menjadi pemuas nafsu bernama lelaki. Memang benar dia melakukannya kerana wang tapi itu semua bukan untuk dirinya. Segala-galanya demi ibu dan adik-adiknya.
Derapan langkahnya diperlahankan. Tiba-tiba matanya begitu cemburu melihat sebuah keluarga yang sedang bermesra dihadapannya. Si ayah berusaha memujuk anak perempuan yang merengek meminta sesuatu. Si ibu pula memberikan minuman kepada anak lelakinya. Sesekali perlakuan itu disertai deraian gelak ketawa..
Fikirannya menerjah menangkap masa-masa pertalian keluarganya yang telah berlalu. Saat itu tertores satu persatu wajah kandung tersayang. Ibu tua yang cukup sempurna di matanya. Lembut, pengasih, penyayang dan bersikap adil terhadap anak-anaknya. Begitu juga kedua-dua adik perempuan yang begitu manja dengan dirinya. Dia amat rindukan belaian dan layanan itu. Kalau bukan kerana hal itu pastinya dia masih lagi menikmati zat itu.
Ayah? hatinya direncam kebencian apabila mengingatkan lelaki itu. Lelaki yang telah menyebabkannya lahir ke dunia melalui ukhuwah yang suci dan lelaki itu juga yang telah meragut kesuciannya saat usia menginjak remaja. Kerana rasa takut dan gerun yang begitu mendalam melihat kerakusan haiwan itu, dia hanya membiarkan sahaja dalam tangis derita sepanjang malam. Sakit tubuhnya menahan keganasan si ayah. Sakit hatinya melihat lelaki itu tersenyum puas. Dia tidak tahu entah sudah berapa kali tubuhnya berada dalam genggaman jantan keparat itu. Ingin dia membongkar kebenaran itu. Biar dunia tahu manusia yang berselindung disebalik gelaran ayah itu adalah syaitan.
Kenyataan melihat keuzuran ibu yang menghidap penyakit jantung berlubang membuatkan mulutnya terkunci rapat seribu bahasa. Mampukah ibu menerima hakikat ini?. Isteri manakah yang sanggup menelan pahit suaminya adalah perogol?. Menjadikan darah daging sendiri sebagai mangsa. Terbayang di wajahnya ibu dikendong sakaratul maut setelah menerima perkhabaran itu. Tidak!. Dia tidak sanggup. Dia bukan sekejam itu. Melihat wajah durjana ayah pula menyebabkan dendam kesumatnya semakin membara. Dendam itulah juga yang membawa dirinya jauh ke kota yang diharapkan mampu merawat kelukaan hatinya. Dia tidak mempunyai pilihan lain. Dia tidak mahu melukakan hati emak. Dia juga tidak mahu terperangkap dalam neraka sumbang ayahnya. Dia terpaksa. Begitu terpaksa.
Kakinya melangkah lagi. Menempuh arus masa perjalanan itu. Usai petang itu sememangnya damai. Diusik angin sepoi-sepoi bahasa yang kadangkala begitu nakal menyingkap rambutnya yang panjang mengurai. Suara-suara peniaga semakin galak memikat para pelanggan. Teriakan murah dan cantik sudah begitu sebati kedengaran. Kadangkala dia turut membelek barang yang diniagakan. Ada masanya dia juga mengelak dari melihat gerai-gerai yang mempamerkan kitab-kitab agama. Membaca tajuknya sahaja sudah cukup membuatkan hatinya kecut. Tubuhnya akan menggigil apabila mula membaca terjemahan ayat-ayat suci al-quran. Begitu takut dengan amarah Allah Azzawajallah. Begitu getar dengan azab Allah. Dia tahu benar akan hukuman dosanya. Terlalu berat dan tidak mungkin akan tertanggung oleh mana-mana manusia. Jangan ditanya mengapa. Dia sendiri tidak mengerti mengapa jalan itu masih menjadi pilihannya.
(bersambung.....)
No comments:
Post a Comment